Tuesday, October 14, 2008

Kepentingan & kebaikan internet kepada kehidupan manusia.

Kita seringkali mendengar perkataan internet dan juga kebaikan-kebaikan internet dalam memudahkan kehidupan harian kita. Tetapi apakah internet dan apakah sumbangan internet dalam kehidupan seharian kita? Internet merupakan gabungan rangkaian komputer seluruh dunia. Ia mengandungi ribuan rangkaian yang saling berhubung dan membolehkan pertukaran maklumat secara percuma. Perkataan Internet berasal daripada “Inter” dan “Net” atau “interconnected networks”. Perkataan inter (integration) bermaksud integrasi dan net (networking) bermaksud rangkaian. Internet juga dikatakan sebagai satu set peraturan yang digunakan untuk menghubungi rangkaian. Selain itu, ianya merupakan perkhidmatan yang tidak dimiliki atau diuruskan oleh mana-mana pihak. Salah satu cara menghubungi internet ialah dengan menggunakan World Wide Web (www). Rangkaian-rangkaian ini dihubungkan oleh penyambungan secara wireless, wayar-wayar cooper, kabel-kabel fiber-optic dan teknologi-teknologi yang lain.


Antara kebaikan internet adalah maklumat begitu mudah dan cepat disalurkan untuk digunakan dalam pelbagai urusan, seperti dalam bidang penyelidikan dan pengumpulan data. Selain itu komunikasi antara negara di dunia menjadi semakin mudah dan ringkas dengan wujudnya e-mel dan ‘chat’, di mana kos perhubungan begitu murah jika dibandingkan dengan penggunaan telefon dan juga begitu cepat jika kita membuat perbandingan dengan penghantaran surat biasa melalui pos.

Selain itu, penggunaan video conferencing iaitu komunikasi secara elektronik yang membenarkan dua atau lebih pengguna di lokasi-lokasi yang berlainan berada dalam satu konferensi secara serentak membolehkan pengguna-pengguna berkomunikasi secara bersemuka pada masa yang sama. Dengan adanya video conferencing, ia boleh menjimatkan masa, tenaga dan juga kos perjalanan. Sebagai contoh, jika seorang menteri dari Malaysia terlibat dengan mesyuarat di Russia, beliau boleh mengikuti mesyuarat tersebut secara video conference tanpa perlu hadir secara fizikal di tempat tersebut. Maka, ini boleh membuat penjimatan dari segi tenaga, masa dan kos perjalanan. Dengan adanya video conference ini juga, ia meningkatkan kecekapan dan kekerapan dalam komunikasi.

Urusan perniagaan dan perbankan semakin mudah dengan pengenalan ‘e-banking’. Kini, dengan adanya internet dan kemudahan ‘e-banking’ pelanggan bank tidak perlu bersusah payah membuang masa dan tenaga untuk ke bank, terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, dan beratur di kaunter-kaunter bank kerana urusan perbankan boleh dilakukan menerusi Internet. Pembayaran bil juga kini dilakukan menerusi Internet dan ini merupakan kemudahan yang paling mendapat sambutan ramai kerana kemudahan ini nyata memudahkan pelanggan di samping menjimatkan kos perjalanan.
Kesimpulannya, internet adalah rangkaian kawasan luas yang menyambungkan beribu-ribu rangkaian kawasan setempat dengan hanya menggunakan protocol IP sebagai protokol penghubung. Penggunaan internet pada masa kini banyak membantu dalam memudahkan kehidupan seharian bagi kebanyakan orang. Di samping, ia juga mengubah gaya hidup manusia masa kini.